Ahad, Ogos 30, 2009

RAMADHAN: TETAMU AGUNG YANG DIRINDUI

Ramadhan bagi orang beriman adalah tetamu agung yang dinanti-nanti. Seperti orang selalu kata, kehadiranmu dinanti pemergianmu ditangisi. Bersyukur kepada ALLAH kerana ALLAH masih lagi memberi kita peluang untuk menjadi tetamu di bulan ini. Jangan lepaskan peluang keemasan yang telah ALLAH berikan ini. Perhebatkan ibadah dan amalan ketaatan. Moga-moga kita mencapai natijah taqwa seperti yang ALLAH kehendaki.

Menurut Imam Al-Ghazali, terdapat tiga tingkatan puasa, iaitu:
1. Puasa orang awam
Golongan ini hanya setakat menahan perut dan kemaluan dari memperturut hawa nafsu.

2. Puasa orang khusus (Puasa anggota)
Bukan sahaja menahan makan dan syahwat tapi menahan anggota dari berbagai dosa. Menjaga pendengaran, penglihatan, percakapan, kaki, tangan agar tidak melakukan perkara yang melalaikan dan mengundang dosa.

3. Puasa orang yang paling khusus (puasa hati)
Puasa hati dari berbagai keinginan yang hina dan fikiran-fikiran duniawi. Menahan hati dari segala sesuatu selain ALLAH secara total. Puasa dikira batal jika fikirkan sesuatu selain ALLAH. Ini tingkatan puasa para nabi, siddiqin dan muqorrobin (orang-orang yang didekatkan kepada ALLAH).

Mari kita semak diri kita... kita termasuk dalam golongan yang mana? Adakah masih berada dalam peringkat yang pertama. Mungkin sukar untuk kita mencapai peringkat ketiga tapi kita cuba-cubalah usahakan jadi golongan yang kedua. Cuba-cubalah puasakan anggota badan kita yang senang-senang mencari dosa tu.. Jadikanlah ia anggota yang bertaqwa selepas keluar dari tarbiyah dan tamrin Ramadhan ni. Jadi mata yang bertaqwa, jadi telinga yang bertaqwa, jadi mulut yang bertaqwa...Seluruh jasad kita bertaqwa. InsyaALLAH.. Moga ALLAH bantu kita untuk menghidupkan Tetamu Agung kita ini dengan amalan ketaatan yang dicintaiNYA. Amiin...



~CINTA ALLAH CINTA RASUL~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan